Kenapa Anda Patut Elak Chromebook Converted (Walaupun Nampak Murah)
Ramai orang suka mencari laptop harga murah untuk kegunaan harian, terutama sekali mak ayah yang nak belikan untuk anak-anak belajar. Tetapi akhir-akhir ini muncul pula trend jual beli Chromebook “repurposed” atau “converted” – nampak murah, tapi hakikatnya boleh jadi jebakan besi buruk digital.
Kalau anda tengah mempertimbangkan nak beli Chromebook jenis ini, baca dulu artikel ini sampai habis. Bukan nak takutkan, cuma nak berpesan sebelum kena.
Apa Itu Chromebook Repurposed / Converted?
Biasanya Chromebook ini asalnya dijual dengan sistem operasi ChromeOS. Namun, bila sudah sampai End-of-Life (EOL) – maksudnya Google sudah hentikan sokongan kemas kini – ada penjual yang akan format Chromebook tersebut dan pasangkan Windows 10 atau Windows 11.
Sekilas pandang memang nampak macam “laptop baru berharga murah”. Tapi di situlah masalahnya.
Kenapa Chromebook Murah Ini Sebenarnya Tidak Berbaloi?
1. Sudah Tamat Sokongan (EOL)
Chromebook ada tarikh luput. Bila sudah EOL, tiada lagi update keselamatan atau perisian baharu daripada Google. Jadi, kalau pakai dengan ChromeOS pun sebenarnya dah tak selamat.
2. Dipaksa Jalankan Windows
Chromebook bajet biasanya menggunakan chipset low end seperti Intel Celeron. ChromeOS memang direka ringan dan sesuai dengan CPU sebegitu. Tapi bila dipaksa jalankan Windows, prestasi terus jadi lemau. Nak buka Microsoft Word pun boleh ambil masa lama.
3. Prestasi Lemah, Tak Berbaloi
Windows perlukan CPU, RAM dan GPU lebih kuat. Chromebook bajet yang dipasang Windows selalunya akan:
-
Sangat perlahan
-
Selalu “hang”
-
Tak sesuai untuk belajar online / kerja ringan sekalipun
4. Aksesori Pun Kadang Tak Original
Ada kes, charger tak sesuai, malah ada yang diberi adapter murah yang bukan asal. Akhirnya, pengguna terpaksa tambah kos lagi untuk beli yang baru.
Siapa Yang Selalu Jadi Mangsa?
Selalunya mak ayah yang nak belikan laptop murah untuk anak-anak. Niatnya baik, tapi akhirnya anak-anak terseksa nak belajar sebab laptop sangat perlahan dan tak stabil.
Jadi, Chromebook Mana Patut Dibeli?
👉 Kalau anda memang nak guna Chromebook, belilah model rasmi dengan ChromeOS yang masih aktif sokongan kemas kini (EOL jauh lagi).
👉 Pilih yang ada chipset lebih baik sedikit, bukan sekadar Celeron generasi lama.
👉 Elakkan “converted” atau “repurposed” – murah di depan mata, tapi mahal dari segi masa, emosi dan kualiti.
Kesimpulan
Bukan tak boleh beli Chromebook repurposed, tapi berhati-hatilah. Jangan mudah terpedaya dengan harga murah semata-mata.
Kalau nak laptop yang betul-betul berfungsi dengan baik, pilihlah Chromebook original dengan ChromeOS terkini atau terus beli laptop Windows yang memang dibuat untuk Windows.
Ingat, murah tak semestinya berbaloi.